Shah Firdaus iringi Azizul ke Piala Dunia Klasik

Oleh Staff Writer 13 Oktober 2016 0
Shah Firdaus iringi Azizul ke Piala Dunia Klasik
Muhammad Shah Firdaus Sahrom muncul satu-satunya pelumba trek negara yang akan mengiringi Azizulhasni Awang mencabar siri Piala Dunia Klasik, sekali gus menghampiri impian membuat penampilan pertama dalam kejohanan dunia.

Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley, gembira dengan prestasi Firdaus apabila meraih dua pingat emas dalam Piala Asia di Bangkok, Thailand.

Sehubungan itu, pelumba bertubuh sasa itu wajar dibawa mengiringi Azizul ke siri Piala Dunia Klasik pertama di Glasgow, Scotland, yang akan bermula 4 November depan, diikuti siri kedua di Belanda, beberapa hari kemudian.

"Ia permulaan yang baik untuk saya dan ia juga sebagai salah satu aksi pemanas badan untuk saya sebagai persediaan ke Piala Dunia. 

"Jurulatih telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengikuti Azizul, jadi saya akan menggunakan peluang yang diberikan untuk saya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia buat pertama kali dalam kerjaya saya," kata Firdaus.

Firdaus pernah menyertai siri Piala Dunia Klasik 2014 dan 2015, namun gagal melengkapkan kalendar.

Situasi itu menyaksikan dia gagal mengumpul mata untuk melayakkan diri bagi menyertai Kejohanan Dunia.

Jika Azizul dapat membantu, tidak mustahil Firdaus bakal muncul selaku pengganti terbaiknya, terutamanya menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen