Personaliti Azizulhasni Awang, menjadi pembakar semangat buat pelumba berbasikal trek, Shah Firdaus Sahrom, mengambil cabaran untuk meneruskan legasi 'The Pocket Rocketman' itu.

Shah Firdaus tidak meletakkan cabaran itu sebagai tekanan malah ia dianggap tanggungjawab sebagai seorang atlet dan rakyat Malaysia.

Pelumba 24 tahun itu mengangkat Azizulhasni sebagai idolanya selepas tertarik dengan semangat serta disipilin yang dipamerkan pelumba dari Terengganu berkenaan.

"Saya sudah lama beraksi di sampingnya, kalau berlumba sekalipun (terlibat dalam kejohanan), kami akan tinggal sebilik.

"Melihatnya sebelum dan ketika menghadapi perlumbaan, semuanya berbeza.

"Dalam latihan, dia memang fokus dan tiada apa yang boleh mengganggunya tetapi sehari sebelum perlumbaan, mentalnya bertukar kepada angin perlumbaan. Itulah yang perlu kami belajar daripadanya," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Nurul Syakirah Zulkifly, di Lapang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.

Shah Firdaus bakal membuat penampilan pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas Azizulhasni memastikan dua slot dalam acara keirin dan pecut yang menyaksikan skuad berbasikal trek negara mempunyai dua slot lagi tambahan.

"Saya bersyukur dan gembira kerana dapat membawa Shah Firdaus yang merupakan senario yang baik buat negara.

"Saya harap dia berpeluang beraksi dalam Sukan Olimpik dan meraih pengalaman.

"Saya harap dia dapat meneruskan legasi saya pada satu hari nanti," kata Azizulhasni.