Pelumba berbasikal trek negara, Mohammad Shah Firdaus Sahrom, menyasarkan untuk layak sehingga ke peringkat separuh akhir acara keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2018 selepas sekadar tersekat dalam pusingan pertama, tahun lalu.

Pelumba berusia 23 tahun itu dihimpit kekecewaan setelah sekadar meraih tempat keempat dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC 2018), sekali gus mahu segera bangkit di Apeldoorn, Belanda.

Dia yang pernah merasai pengalaman beraksi di Apeldoorn dalam saingan Piala Dunia 2016 berharap situasi itu mampu membantunya untuk cepat menyesuaikan diri dengan trek di sana.

Dalam Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong, Shah Firdaus tersingkir pada repcharge keempat dalam pusingan pertama untuk menduduki tangga ke-13 keseluruhan.

"Ini adalah kali kedua saya menyertai Kejohanan Dunia dan saya mendapat tahu saya layak untuk bersaing dalam acara keirin, jadi saya menetapkan sasaran ke pusingan kedua (separuh akhir).

"Harapan saya tinggi untuk ke final, jadi saya harap dapat melakukan yang terbaik," katanya.

Selain itu, dia juga menjangka saingan kali ini lebih sengit, ditambah dengan kehadiran semua pelumba, termasuk pelumba muda berbakat.

"Macam ACC saya hanya bersaing bersama pencabar Asia, berbeza dengan Kejohanan Dunia, jadi saya tidak dapat menjangkakan apa yang akan terjadi.

"Saya melihat pencabar-pencabar lebih bersedia, membuatkan saya perlu lebih bersedia," tambahnya.