2021 merupakan tahun terbaik untuk menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 di Johor, menurut Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Pendapat itu diutarakan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu, mengambil kira perbincangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Kementerian Pendidikan.

Begitupun Ibni berkata sebarang kata putus tetap bergantung kepada situasi semasa wabak virus baru, Covid-19, serta lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru MSNT akan menerima apa jua keputusan tarikh baru Sukma yang dijangka diketahui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi pada Khamis.

"KBS tentu mengambil kira semua aspek termasuk penangguhan serta pembatalan peperiksaan awam yang melibatkan atlet-atlet bertanding.

"Kami di MSNT akan patuh dengan segala keputusan dibuat tapi pada saya, 2021 adalah tahun yang sesuai untuk mengadakan Sukma," jelas Ibni.