Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) muncul juara Kejohanan Ragbi Bawah 16 Tahun (B-16) Terengganu selepas mengalahkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu, 17-0 di Kompleks Sukan Gong Badak, kelmarin.

Terikat tanpa jaringan dalam babak pertama, SESMA menguasai separuh masa kedua dengan melakukan dua try menerusi Mohd Fakil Izimin Hakim serta satu conversion melalui Mohd Syakir Irfan.

Tuan Mohd Sadiq Zafran memberikan mata ke-17 melalui try pada penghujung perlawanan, sekaligus memastikan kejuaraan kekal milik skuad kendalian Mohd Nizam Mohd Kamal itu.

Menurut Nizam, meskipun mengakui barisan pemainnya tidak dapat menjalani latihan yang mencukupi, dia tetap gembira dengan semangat berkobar-kobar yang ditunjukkan pasukan itu.

Rentak agresif pada awal babak kedua juga disifatkan Mohd Nizam sebagai pencetus kemenangan ke atas musuh tradisi mereka, MRSM Kuala Terengganu.

“Ini adalah perlawanan yang dinanti-nantikan, saya tahu apabila bertemu MRSM Kuala Terengganu, pemain-pemain saya akan beraksi dengan luar biasa.

“Selepas ini, SESMA akan ke Kejohanan King George V B-14 di Seremban pada 4 dan 5 November,” katanya.