Pasukan tuan rumah, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), muncul juara kategori utama bawah 16 tahun dalam Kejohanan Ragbi Sesma 7s di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, kelmarin.

Skuad bimbingan Muhammad Syafiq Eidham itu menepati ramalan selepas mudah mengalahkan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit 38-0 dalam final.

Sesma bermula garang untuk mendahului 24-0 pada babak pertama menerusi empat try dan dua conversion.

Kebangkitan yang diharapkan SBPI Batu Rakit tidak menjelma, sebaliknya Sesma terus menguasai permainan dengan tambahan dua lagi try serta dua conversion untuk menjuarai edisi kelapan ini.

Menurut Muhammad Syafiq, pencapaian muncul juara cukup membanggakan, sekaligus mengubati kekecewaan tewas dalam separuh akhir plate Karnival Ragbi King George V (KGV) baru-baru ini.

Katanya, gelaran naib juara bawah 14 tahun juga menjadi penanda aras dominasi Sesma sambil menyifatkan ini adalah barisan terbaik pernah dimiliki sekolah itu.

“Selain itu, Sesma Old Boys, iaitu alumni sekolah ini, sentiasa memberi sumbangan dengan berkongsi pengalaman serta membangkitkan semangat pelajar.

“Kami sentiasa melakukan persiapan rapi dan telah menunjukkan banyak peningkatan untuk menjadi pasukan nombor satu di Terengganu,” katanya.

Sebanyak 48 pasukan menyertai kejohanan dua hari itu yang menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman mengungguli kategori bawah 15 tahun apabila menang 10-0 ke atas SMK Sultan Yahya Petra.

Kategori bawah 14 tahun pula dimenangi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu yang mengatasi Sesma 26-17.

Turut dipertandingkan ialah kategori perempuan touch yang dikuasai MRSM Kuala Berang manakala Sesma terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Juara cup, plate dan bowl masing-masing menerima piala iringan dan medal yang disampaikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong.

Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Ragbi Terengganu, Amir Amri Mohamad, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu dan Pengarah Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP), Jamalludin Salim.