Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Datuk Seri Shahidan Kassim, mengesahkan sesi pendengaran membabitkan isu doping Ng Yan Yee akan berlangsung Isnin ini, pada jam 7 malam, menerusi perbualan langsung secara dalam talian.

Keputusan membabitkan Yan Yee akan diputuskan ASUM mahupun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) selepas mempertimbangkan prosedur dalam sesi pendengaran itu.

Malaysia yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Sukan SEA, Datuk Dr SS Cheema, bakal membincangkan bentuk hukuman selain perbincangan menerusi dalam talian itu akan turut dihadiri Yan Yee sendiri.

"Selepas sesi pendengaran itu, keputusan jawatankuasa ini akan dipertimbangkan oleh FINA dan ASUM untuk menentukan bentuk hukuman yang akan dikenakan," kata Shahidan.

Bagaimanapun, masih tidak sebarang keputusan berhubung jurulatih baru yang akan menggantikan kekosongan seorang lagi jurulatih terjun, Huang Qiang, yang didakwa terlibat dengan kes rogol.

Apapun, Shahidan menjangkakan isu itu akan selesai sekurang-kurangnya minggu depan.

"Saya sempat berbincang serba-sedikit dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini. Namun, perbincangan mengenai perkara ini perlu melibatkan kehadiran pegawai-pegawai lain. Jadi, kami akan berbincang lagi selepas ini mengenai bentuk penggantian yang harus kami lakukan," ujarnya.