Sesi latihan berjalan seperti biasa -- Mahinda

Oleh Penulis Jemputan 1 November 2018 46
Sesi latihan berjalan seperti biasa -- Mahinda
Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), V. Mahinda, mengarahkan sesi latihan dan aktiviti sukan itu diteruskan seperti biasa di sebalik arahan pihak pemaju mengosongkan Kinrara Oval menerusi notis yang berakhir semalam.

Notis mengosongkan Kinrara Oval sudah tamat, namun rutin harian pemain dan pegawai diteruskan seperti biasa.

Ia selari dengan arahan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, bahawa sebarang tindakan tidak boleh diambil selagi pertemuan di antara MCA, pihak pemaju dan Kementerian Belia dan Sukan tidak diadakan.

Malah, Kinrara Oval sudah diberikan taraf status quo.

"Kami akan meneruskan perkembangan dan persiapan bagi menghadapi saingan akan datang," kata Mahinda.

Bagaimanapun, pegawai MCA mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpan dokumen penting.

Ia sebagai tindakan awal jika rundingan antara tiga pihak terbabit gagal.

"Tugas kami adalah bermain. Pasukan akan terus membuat persiapan untuk menghadapi beberapa perlawanan yang telah dijadualkan," kata kapten negara, Ahmad Faiz Mohamad Noor.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen