Seorang lagi atlet negara positif doping

Oleh Penulis Jemputan 8 November 2017 2366
Seorang lagi atlet negara positif doping
Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, mengesahkan seorang atlet muay thai kebangsaan positif bahan terlarang jenis diuretic, sekaligus menjadi kes ketiga dalam arena sukan negara tahun ini.

Atlet muay thai terbabit diuji positif, sebulan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

Kes itu tidak didedahkan lebih awal kerana kontinjen negara ketika itu sibuk membuat persiapan dan atlet terbabit digantung daripada menyertai sebarang kejohanan.

Selepas empat bulan, atlet terbabit mahu menuntut supaya sampel B diuji, namun ADAMAS menegaskan tempoh untuk berbuat demikian sudah tamat.

"Ia dikira sudah melampaui had masa untuk mencabar keputusan sampel A. Oleh itu, atlet tersebut perlu dibawa kepada panel disiplin pihak persatuan berkenaan," katanya.

Sebelum ini, Malaysia digemparkan dengan kes doping membabitkan penerjun, Wendy Ng Yan Yee dan jaguh angkat berat, Mohd Hafifi Mansor.

Wendy sedang menunggu laporan jawatankuasa siasatan selepas ujian sampel B kekal positif manakala Hafifi baru menyaksikan ujian sampel B miliknya dilakukan di Sydney, Australia.

Apa yang mengecewakan, ADAMAS sudah melakukan pelbagai usaha sepanjang tahun ini, namun kes doping tetap berlaku juga.

"Kami mengharapkan jurulatih memainkan peranan penting dalam memantau amalan dan tingkah laku atlet masing-masing. Dalam masa sama, pihak persatuan perlu jelas dan memberi mesej yang sama kepada ADAMAS," katanya lagi.0

Sementara itu, Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia, Datuk Muhd Shahnaz Azmi, menyuarakan bahawa persatuan sudah menjalankan siasatan dalaman dan mendapati atlet terbabit mengambil pil perangsang seks sebelum dikesan positif diuretic.

"Puncanya seperti biasa, atlet itu sendiri tidak faham lagi. Sudah banyak bengkel diadakan oleh ADAMAS atau saya pasti atlet itu sendiri sudah menyertai bengkel tetapi mereka tidak pasti apakah bahan-bahan yang terlarang.

"Mereka tahu steroid adalah bahan terlarang tetapi dalam kes ini ia melibatkan diuretic, iaitu bahan untuk kurangkan berat badan," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen