Sembilan perenang akan membawa cabaran negara dalam Kejohanan Renang Asia 2016 di Tokyo, pertengahan bulan ini.

Menurut jurulatih renang negara, Paul Birmingham, bilangan peserta negara itu dianggap memadai berdasarkan prestasi semasa serta persiapan singkat yang diharungi.

Senarai akhir perenang belum dimuktamadkan tetapi Olimpian negara, Welson Sim, dan juga Wong Fu Kang sudah pasti antara yang bakal ke Tokyo.

Birmingham berkata jumlah itu masih lagi jauh jika dibandingkan dengan tuan rumah, Jepun, yang dijangka mempertaruhkan sehingga 30 perenang di samping kemampuan perenang dari China yang menjadi tumpuan.

“Jepun serta China akan menghantar pasukan dan mereka dilihat akan mengungguli kejohanan kali ini,” katanya.

Birmingham turut tidak meletakkan sasaran tinggi buat perenang negara untuk kejohanan itu nanti.

Selain sesi latihan biasa, skuad renang negara turut menjalani kem latihan altitud tinggi di Kunming, China, September lalu.

Namun, mereka diharapkan mampu mempamerkan persembahan terbaik kerana ia dapat membantu dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

“Saya masih mahu melihat keputusan yang diperoleh di kejohanan ini dan akan kembali menjalani latihan altitud tinggi.”