Tatkala Malaysia merindukan aksi Datuk Nicol Ann David, pengaruhnya di pentas antarabangsa tetap menjadi azimat buat barisan pemain skuasy wanita negara.

Antara yang berada di kemuncak prestasi ketika ini adalah Rachel Arnold yang baru sahaja memenangi saingan Terbuka India sambil dua lagi pemain senior, Low Wee Wern dan S. Sivasangari, turut memikul tugas menghadirkan kejayaan buat kem negara.

Bagi Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), ini adalah senario paling baik selepas persaraan Nicol daripada pentas kompetitif.

"Ketika ini, tiada pemain di dalam dunia yang mampu mencapai apa yang diraih Nicol tetapi dalam kem kebangsaan, bagus melihat tiga pemain ini bermain dengan baik dan beraksi berbekalkan potensi yang bagus," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

Rachel, Wee Wern dan seorang lagi pemain sensasi kebangsaan, Aifa Azman, akan melakukan penampilan dalam Kejohanan Wanita Dunia edisi 2019-2020 di Kaherah, Mesir, bermula Jumaat ini.

Mereka berdepan penyingkiran dalam pusingan pertama kecuali jika berupaya menyerlahkan prestasi luar biasa ke atas lawan berstatus pilihan.

"Ketiga-tiga pemain ini berdepan lawan sukar tetapi ia perlu dihadapi jika mahu melihat kemampuan anda berkembang.

"Kami tidak boleh nafikan bahawa pemain negara berdepan kesukaran tetapi saya tetap percaya mereka mampu mencatat kemenangan," tambah Maniam.