Tanggal 5 Januari 2021, dunia sukan negara dikejutkan dengan berita persaraan ratu boling tenpin negara, Shalin Zulkifli.

Memulakan karier sejak usia 9 tahun, semestinya berita pengunduran legenda boling tenpin negara itu mengejutkan semua selepas 28 tahun menabur bakti bersama skuad negara.

Keputusan Shalin itu telah dikongsi kepada akbar The Star hari ini.

Memulakan karier sejak remaja lagi, pelbagai cabaran dan dugaan sudahpun dilalui bekas atlet berusia 42 tahun itu sepanjang dia mencorak perjalanan penuh gemilang di arena boling tenpin negara dengan pelbagai cerita suka dan duka.

Perjuangan hampir tiga dekad Shalin menyaksikan dia cemerlang meraih 91 pingat, dengan terbaik dilakar Shalin tentunya di pentas Sukan SEA, dengan kilauan 20 pingat emas tercipta.

Sementara itu, persaraan Shalin dianggap seperti permata yang hilang dalam pasukan oleh ketua jurulatih negara, Holloway Cheah.

Baginya, personaliti satu dalam seribu dimiliki Shalin sukar untuknya mencari pengganti buat ratu boling tenpin negara itu.

"Saya berasa sedih dengan persaraan Shalin. Saya telah melatihnya sejak muda lagi sehinggalah menjadi atlet bertaraf antarabangsa. Saya berasakan dia telah menyempurnakan karier dengan setiap kejayaaan," katanya.

"Semestinya pasukan adalah berbeza tanpa Shalin kerana kekosongan yang ditinggalkan sesuatu yang amat sukar untuk diganti. Saya berharap dapat menjadi pengganti terbaik kerana dia seorang yang mampu memimpin pasukan dengan baik."

"Saya berasakan Shalin mengetahui setiap keputusan yang diambil. MTBC akan sentiasa menyokong setiap keputusan yang diambil oleh Shalin," kata Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Maradona Chok.