Kriket mungkin sukan kedua paling popular di dunia, namun perkembangan sukan itu di Malaysia berdepan risiko selepas satu-satunya venue bertaraf ‘One-day International (ODI)’ di negara ini, akan diambil balik untuk projek pembangunan.

Ini berikutan Kinrara Oval di Puchong yang menyaksikan ketua pasukan India, Virat Kohli, dan bekas teraju utama skuad berkenaan, Sachin Tendulkar, kedua-duanya disifatkan sebagai pemukul terbaik di dunia, pernah beraksi di venue ikonik itu, diarah tutup.

Persatuan Kriket Malaysia (MCA) diberi notis untuk mengosongkan venue berkenaan, yang disifatkan sebagai ‘rumah sendiri’ bagi persatuan berkenaan, pada hujung bulan ini oleh pemaju hartanah tersebut.

Walaupun lebih 400 perlawanan dianjurkan membabitkan ribuan pemain kriket daripada peringkat sekolah sehingga antarabangsa di venue berkenaan, pembangunan berterusan di Lembah Klang, yang sebelum ini menyaksikan banyak padang bola sepak terpaksa ‘dikorbankan’, kini beralih kepada salah satu padang kriket terbaik di Asia itu.

Bagi menunjukkan bantahan terhadap pengambilan tanah tersebut, lebih 50 peminat kriket berhimpun di venue tersebut dengan membawa sepanduk bertulis “Don’t kill the game, save Kinrara Oval,” manakala banyak lagi pihak menggunakan platform media sosial bagi menyatakan sokongan dengan hashtag #SaveTheOval.

Presiden MCA, Mahinda Vallipuram, berkata ‘kehilangan’ Kinrara Oval, yang turut menempatkan ibu pejabat MCA di kawasan itu, akan ‘membunuh’ pembangunan sukan kriket yang semakin berkembang di negara ini.

“Ia bukan sahaja kehilangan satu venue, ia mengenai pembangunan kriket di negara ini. Kini kita mempunyai lebih 35,000 pemain kriket aktif di pelbagai peringkat manakala inisiatif kami bersama Kementerian Pendidikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan peningkatan jumlah sekolah yang ada program kriket di Malaysia kepada lebih 800 daripada 250 buah empat tahun lepas.

“Pada masa ini, kita mempunyai 800 guru sekolah yang memiliki sijil kejurulatihan Tahap 0 dan 1. Kita juga menjimatkan perbelanjaan sekurang-kurangnya setengah juta setahun untuk pembinaan asrama pemain kita di sini. Kesemua kerja-kerja ini dilakukan dan ditadbir daripada pejabat dan kemudahan kami di sini.

“Pembangunan sukan ini tidak berlaku dalam tempoh singkat, ia memerlukan 10 hingga 15 tahun untuk membuahkan hasil. Jadi, apa kita lakukan sekarang untuk pembangunan berterusan sukan ini pada masa depan? Jadi, kami berharap dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik,” katanya ketika ditemui Bernama di venue berkenaan.

Mahinda berkata beliau sudah berbincang mengenai perkara tersebut dengan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali, dan mesyuarat di antara MCA dan kementerian akan diadakan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan itu.

Sementara itu, Mohamed Yusri Rauf, yang beraksi dalam Liga Korporat T20, berkata Kinrara Oval bukan sahaja sebagai venue sukan kriket, malah fungsinya lebih daripada itu.

“Ia seperti rumah bagi kami. Kita perlu selamatkan padang ini yang merupakan venue kebangsaan bagi Malaysia dalam tempoh dua dekad lepas. Ia satu-satunya venue bertaraf ODI di Asia Tenggara dan terbaik di Asia selain daripada negara ahli penuh Majlis Kriket Antarabangsa (ICC),” katanya.

Penasihat Persatuan Kriket Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Lt Kol (B) Gerard Denis Singam, pula berkata kemudahan sukan seumpama itu perlu dijaga untuk pembangunan kriket di negara ini.

“Kita bercakap mengenai matlamat memenangi pingat dalam Sukan Olimpik dan Sukan Asia tetapi di peringkat akar umbi, kita tidak mengambil berat sukan ini. Ia sebahagian kecil tapak tanah, semua pihak mahu mengambilnya, untuk apa?

“Mari kita selamatkan untuk kriket. Saya berada di sini ketika mereka membina venue ini pada 2003, ia kosong, hanya pasir dan rumput. Kita bina venue ini menjadi antara terbaik di rantau ini,” katanya yang merupakan pengasas kriket wanita di Malaysia.

Antara kejohanan yang pernah dianjurkan di Kinrara Oval ialah Piala Dunia Bawah 19 (B-19) 2008; tujuh perlawanan Piala DLF 2006-2007 menentang Australia, India dan West Indies; Piala Asia B-19 ACC 2017; Sukan SEA 2017 dan Piala Asia ACC Wanita.

Malah, baru-baru ini, Lembaga Kriket Pakisten (PCB) memilih Kinrara Oval sebagai gelanggang mereka dalam siri perlawanan kategori wanita menentang Australia yang dijadual dari 18 hingga 29 Oktober ini.

Skuad kriket lelaki negara kini menduduki ranking ke-27 dunia dalam kalangan 95 negara yang bermain kriket manakala dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

-- BERNAMA