Bidang kejurulatihan dilihat bidang yang paling sesuai untuk diceburi buat pemain ragbi 15 sepasukan negara, Syahir Asraf Rosli, dalam meniti penghujung kariernya.

Syahir yang lebih mesra dikenali dengan panggilan, 'Saho' dilihat lebih cenderung kepada kejurulatihan bemula tahun 2020.

"Saya berasa sudah masanya untuk mengundur diri dan memberikan peluang kepada bakat-bakat pemuda untuk membuktikan kemampuan mereka. Saya berasa sangat berpuas hati dan bersyukur, perjalanan karier saya yang bermula daripada pemain remaja ke senior dan sekarang sudah tiba masanya untuk saya menabur semula ilmu," kata Syahir.



"Saya terlibat dengan bidang kejurulatihan dan sebagai pengajar sebelum ini. Jika bertanding dalam saingan liga kebangsaan, Insha-Allah saya akan mewakili negeri dan pasukan tempatan sekadar untuk mengekalkan kecergasan.

"Jika antarabangsa mungkin hanya untuk kelab. Kemungkinan dalam saingan masters, kalau yang kompetitif seperti Kejohanan Asia mungkin yang memberi sokongan kepada bekas pasukan saya.

"Kalau diikutkan, komitmen saya sebagai jurulatih dan cikgu di sekolah persendirian bermakna sukar untuk saya terlibat dalam setiap pertandingan serta kekal di tahap terbaik. Sekiranya saya dapat memberikan fokus sebagai pemain ragbi profesional mungkin saya akan teruskan."

Syahir turut menjelaskan perbezaan sebagai seorang jurulatih dan sebagai seorang pemain ragbi bahawa mereka akan berlatih setiap minggu dan perlu bersedia untuk setiap kejohanan.

"Sekarang saya perlu memberikan perhatian kepada anak buah, pemain dan perlu memastikan semua dalam keadaan teratur. Saya berharap mungkin ini tugas pertama saya sebagai jurulatih skuad remaja dan berharap saya mampu memberikan yang terbaik serta mendapat keputusan yang cemerlang dan ke langkah seterusnya untuk layak ke Kejohanan Antarabangsa Belia," tambahnya.