SEAGF bakal bincang acara Sukan SEA 2021 -- MOM

Oleh Bernama 30 Jun 2020 51
SEAGF bakal bincang acara Sukan SEA 2021 -- MOM
Keputusan mengenai jumlah acara dan venue pertandingan temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam dijangka diketahui selepas mesyuarat secara maya melibatkan 11 ahli gabungan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada 22 Julai ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata mesyuarat itu akan membincangkan hala tuju menyeluruh mengenai penganjuran temasya sukan dwitahunan berkenaan.

“Saya tidak fikir penularan pandemik COVID-19 akan menyaksikan Vietnam mengamalkan kaedah yang lebih konservatif dan berjimat dalam penganjuran Sukan SEA pada tahun depan.

“Kami bersama Majlis Sukan Negara (MSN) akan duduk berbincang mengenai jenis acara sukan yang akan dipertahankan walaupun pihak tuan rumah sudah mempunyai perancangan tersendiri (mengenai jumlah acara yang bakal dipertandingkan),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-20 di Wisma OCM di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebanyak 56 acara dipertandingkan dalam edisi ke-30 di Filipina tahun lalu yang menyaksikan Malaysia menduduki tangga kelima daripada 11 negara bertanding dengan mengumpul 56 pingat emas, 58 perak dan 71 gangsa.

Dalam perkembangan lain, Norza memaklumkan badan induk itu bersetuju membentuk sebuah pasukan petugas bagi menilai semula artikel dalam perlembagaan MOM yang perlu dipinda.

Beliau menjelaskan hasil cadangan pasukan petugas berkenaan, yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden MOM  Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, akan dibentangkan kepada ahli Lembaga Eksekutif MOM untuk tindakan susulan.

-- BERNAMA

 


 

Tentang Penulis

Bernama

Komen