Penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel, tampil mempertahankan rakan seposisinya di Manchester United, David de Gea, di sebalik kritikan yang semakin meningkat terhadap bintang Sepanyol itu.

Kedudukan De Gea sebagai penjaga gol nombor satu di kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sekali lagi menjadi tumpuan selepas persembahan terumbang-ambingnya sepanjang musim 2019-20.

Khabar penjaga gawang tempatan yang sedang meningkatkan naik, Dean Henderson -- dipinjamkan ke Sheffield United -- akan dipanggil semula semakin bertiup semakin kencang berikutan mimpi ngeri yang dilalui De Gea ketika menghadapi Chelsea dalam perlawanan separuh akhir Piala FA di Wembley, minggu lalu.

De Gea gagal menutup percubaan jarak dekat Olivier Giroud sebelum dia dimalukan dengan percubaan jauh Mason Mount dalam kemenangan 3-1 The Blues, namun penjaga gol itu terus diamanahkan tugasan berkenaan ketika seri 1-1 dengan West Ham dalam aksi liga.



Tatkala The Red Devils -- menghuni tangga ketiga -- bersiap untuk kunjungan getir ke seteru di tangga kelima, Leicester, bagi menentukan kelayakan ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan, Schmeichel tetap menyokong De Gea.

"Ia situasi yang sangat sukar dan anda harus ingat dan kenyataan ini sama sekali bukan kerana tidak menghormati wartawan atau pandangan pakar, hakikatnya anda semua sebenarnya tidak pernah berdiri di kedudukan itu," kata Schmeichel kepada Sky Sports.

"Anda akan mengklasifikasikan sesuatu itu sebagai satu kesilapan atau kesalahan, dan kadang-kadang ada perkara yang diberi perhatian khusus tetapi seringkali gambaran ini dibuat terhadap penjaga gawang kerana tugas pakar dan wartawan adalah mendidik, itulah tugas mereka.

"Mereka akan menyatakan pendapat mereka tentang penjaga gol, misalnya kedudukan tangan, posisi kaki, perkara teknikal yang kadang-kadang boleh merosakkan reputasi seseorang penjaga gawang itu.

"Anda akan mendengar ulasan seperti, 'dia mendepakan tangan yang salah', atau mengetepikan perkara lain yang akan mereka katakan yang boleh membuat penonton berfikir, 'oh ya, itu betul, saya lihat dia terus melakukannya'.

"Kadang-kadang ulasan speerti itu berbahaya kerana secara tiba-tiba, ia mula membina momentum dan bagi seseorang seperti David, saya sangat menggemarinya kerana dia telah beraksi cemerlang selama bertahun-tahun dan setiap penjaga gol akan melalui detik yang buruk.

"Ada banyak tekanan apabila sesebuah kelab itu mempunyai penjaga gol tempatan dan suka atau tidak, apabila anda memiliki penjaga gawang berdarah Inggeris di negara ini, ia sangat bererti dan mereka cenderung mengembangkan mereka.

"Saya benar-benar berharap untuk seorang pemain seperti Dean Henderson, yang telah memaparkan persembahan yang luar biasa musim ini, bahawa dia masih berpeluang untuk memperbaiki prestasinya. Saya menaruh harapan terhadapnya untuk terus membuktikan keupayaan dalam musim berikutnya, mungkin selama dua musim di Sheffield United dan teruskan aksi seperti yang dia sedang lakukan, kemudian dia akan bersedia (memperkuatkan United).

"Tetapi buat masa ini, David de Gea masih merupakan penjaga gol berkelas dunia. Ia satu posisi yang sunyi dan itu adalah tuntutan sebagai penjaga gawang -- anda tidak boleh melakukan kesalahan kerana anda akan dihukum.

"Perbezaan di antara penjaga gol dan pemain di posisi lain adalah kecil, tetapi akan menjadi ketara apabila ia berlaku.

"Pemain lain tidak perlu mempunyai mentaliti yang serupa dan mereka menganggap kami gila, ini kerana kami merupakan satu-satunya pemain yang berani memikul tanggungjawab berkenaan kerana jika pemain lain yang menggalas tanggungjawab seperti itu, maka kami boleh mempunyai beberapa pemain luar biasa di mana-mana posisi."



De Gea, yang menyertai United daripada Atletico Madrid pada 2011, mengatasi Peter Schmeichel -- bapa Kasper -- awal bulan ini sebagai pemain dari luar negara yang melakukan penampilan terbanyak buat The Red Devils.

United, menguasai tangga ketiga EPL selepas 38 perlawanan, terikat 63 mata di samping Chelsea yang menduduki tangga keempat manakala berkelebihan satu mata ke atas Leicester.