Jaguh bina badan negara, Sazali Samad, melahirkan rasa kecewa terhadap penolakan rayuan keduanya oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), namun bertekad akan mencabar keputusan itu dalam masa terdekat.

Sazali enggan cepat melatah kerana percaya dia bersama empat peguam yang dilantik mampu melawan keputusan penolakan terbabit.

Kes berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) untuk menyelesaikan isu itu secepat mungkin selain positif nasib akan berpihak kepadanya kali ini.

"Saya tak tahu apa sebabnya, mungkin mereka ada agenda lain terhadap saya.

"Kalau betul ada rasa tidak puas hati atau sebagainya, kami boleh duduk berbincang bersama-sama dan bekerjasama.

"Tapi oleh kerana rayuan kedua pun ditolak, maknanya tiada jalan lain lagi, saya akan tetap teruskan perjuangan saya sampai bila-bila pun," katanya.

Bagaimanapun, juara Mr Universe sebanyak 10 kali itu tetap menghargai sokongan daripada rakyat Malaysia yang memberi semangat dan akan meneruskan kariernya secara bersendiri selepas ini jika hukuman penggantungan empat tahun adalah muktamad.

"Orang sering melihat saya menerusi media sosial Facebook dan Instagram. Walaupun dikenakan hukuman penggantungan empat tahun, saya tetap meneruskan aktiviti harian saya.

"Orang tahu siapa saya dan saya percaya peminat Sazali Samad sentiasa menyokong saya dari dulu hingga kini."

Terdahulu, PBBM menolak rayuan kedua dikemukakan oleh Sazali yang membawa kepada penggantungan sehingga September 2019.

Sazali gagal dalam ujian doping apabila bahan terlarang jenis steroid terdapat dalam sampel air kencingnya pada 1 September tahun lalu.