Peguam Sazali Samad, Mohd Norasmawi Norani, akan mengusulkan rayuan kali kedua kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) untuk mengurangkan hukuman penggantungan terhadap jaguh bina badan negara itu daripada empat kepada dua tahun.

Masih belum mahu berputus asa, Norasmawi optimis mereka ada hujah yang kuat agar hukuman Sazali mampu dikurangkan, sama seperti hukuman dilalui dua atlet angkat berat, Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan.

Ditambah Sazali akan membuka akademinya sendiri yang bertujuan membantu perkembangan atlet pelapis bina badan negara, dia berharap perkembangan tersebut mampu melembutkan pendirian MBBF.

"Kami melalui Akademi Sazali Samad , bukan melalui polis, atau Majlis Sukan Negara (MSN) kerana Sazali Samad 'telah bersara'.

"Jadi, kami akan melakukan rayuan untuk kali kedua atas nama Akademi Sazali Samad. Kami berharap tiada alasan lain untuk rayuan ditolak. Mungkin kali ini akan pergi lebih tinggi," kata Norasmawi.

Sazali -- Mr Universe 10 kali -- ketika ditemui berharap rayuan yang akan dikemukakan dalam tempoh terdekat mampu membantunya beraksi secepat mungkin di pentas antarabangsa.

Jika rayuan itu berjaya, dia yang digantung pada 22 September 2015 boleh melakukan penampilan semula pada tahun depan.

"Harap-harap rayuan kali ini akan berhasil, jika tidak pun, dua tahun hukuman penggantungan. Saya sudah menjalani penggantungan selama setahun, Alhamdulillah, tetapi sewaktu dalam penggantungan saya masih mencari idea yang baru dan latihan tetap saya lakukan seperti biasa.

"Tiada apa yang melunturkan semangat saya. Semangat saya terus tinggi untuk memartabatkan sukan yang saya minati lebih 25 tahun ini," jelas Sazali.