Satu penghormatan jayakan The Dream Remains -- Wee Wern 

Oleh Penulis Jemputan 21 Disember 2019 64
Satu penghormatan jayakan The Dream Remains -- Wee Wern 
Pemain skuasy wanita nombor satu negara, Low Wee Wern, tetap berbangga dapat merealisasikan pertunjukan 'The Dream Remains' yang dianjurkan Datuk Nicol David sekalipun tewas dalam aksi final kepada pemain ketujuh dunia, Sarah Jane Perry, di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Empat pemain, termasuk Wee Wern dan Perry, memenuhi jemputan pertunjukan yang dianjurkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu. 

Aksi separuh akhir kelmarin menyaksikan Wee Wern menewaskan pemain Kanada, Hollie Naughton, sementara Perry menidakkan bintang Belgium, Tinne Gilis, untuk berentap dalam final.

Meskipun jurang ranking di antara wakil negara itu dibezakan 17 anak tangga dengan Perry, Wee Wern mempamerkan aksi mengujakan untuk merampas set pertama 13-11.

Bagaimanapun, pemain England itu menggunakan pengalaman dan kelebihan fizikalnya untuk memaksa pertembungan diheret ke set penentuan apabila mengungguli set kedua.

Kebangkitan yang dicari-cari  Wee Wern dalam set terakhir tidak kesampaian meskipun menawarkan aksi sengit apabila tewas 6-11.

Bagaimanapun, dia tetap berasakan objektif penganjuran program itu mencapai matlamatnya.

"Adalah bagus untuk mempunyai perlawanan kompetitif memandangkan Terbuka Hong Kong terpaksa dibatalkan. 

"Jadi, ini satu pentas untuk saya beraksi biarpun hanya sekadar perlawanan pertunjukan. 

"Sungguhpun tekanan tidak tinggi dalam perlawanan ini, ia menawarkan sesuatu untuk saya memperbaiki permainan," katanya. 

Menurutnya lagi: "Nicol sentiasa menjadi suri teladan kepada bukan sahaja peminat di Malaysia, malah di serata dunia jadi ia satu penghormatan buat saya untuk terbabit. 

"Siapa jua yang pernah melihat Nicol beraksi di dalam mahupun luar gelanggang, pasti tahu dia akan mencurahkan usaha 100 peratus. 

"Oleh itu, penganjuran acara seperti ini merupakan sesuatu yang luar biasa dan memberikan inspirasi kepada semua."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen