Sarawak sediakan peruntukan buat persatuan sukan anjur kejohanan besar

Oleh Bernama 31 Disember 2019 65
Sarawak sediakan peruntukan buat persatuan sukan anjur kejohanan besar
Sarawak sanggup menyediakan peruntukan kewangan mencukupi kepada persatuan-persatuan sukan negeri yang berminat untuk menganjurkan acara sukan secara besar-besaran di peringkat negeri mahupun antarabangsa tahun depan, kata Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Karim Hamzah.

Sehubungan itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Negeri itu juga meminta persatuan berkaitan agar tidak ragu-ragu untuk mengemukakan permohonan mereka bagi mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.

"Saya tidak melihat wang adalah masalahnya tetapi lebih kepada sama ada kamu (persatuan sukan di Sarawak) mahu menganjurkannya (acara sukan) atau tidak," katanya ketika merasmikan Kejohanan Judo Jemputan Kuching anjuran Persatuan Judo Sarawak di Kuching, hari ini.

Beliau, bagaimanapun, tidak mendedahkan jumlah keseluruhan peruntukan kewangan yang disediakan, tetapi memberi jaminan peruntukan itu cukup untuk diagihkan kepada persatuan-persatuan sukan tahun hadapan dan apa yang penting adalah ​​​​​​​mereka perlu menghantar kertas kerja yang baik.

Karim seterusnya mengalakkan persatuan-persatuan berkaitan belia dan sukan di Sarawak seperti Persatuan Judo Sarawak supaya memohon peruntukan itu bagi menganjurkan acara judo secara besar-besaran tahun depan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen