Acara lumba perahu tersohor dan tertua di Sarawak, Sarawak Regatta - Kuching Waterfront Festival 2016, akan kembali dari 18 hingga 20 November ini di Tebingan Kuching.

Dianjurkan oleh Pejabat Residen Bahagian Kuching, acara ini terbahagi kepada dua kategori penyertaan, iaitu kategori terhad (tempatan) dan kategori umum (antarabangsa).

Menurut Residen Bahagian Kuching, Suharmin Chasemon, penyertaan kini terbuka kepada mana-mana pasukan dan individu yang berminat untuk menyerahkan borang mereka.

“Bagi kategori terhad, kita akan mengenakan yuran penyertaan sebanyak RM10 bagi acara perahu tambang berdayung, tambang berenjin (RM10), balok 7 pekayuh lelaki (RM80) dan bidar 10 pekayuh lelaki (RM115).

Penyertaan untuk bidar 10 pekayuh wanita pula dikenakan yuran penyertaan RM115, bidar 20 pekayuh lelaki (antara bahagian - RM230), bidar 20 pekayuh lelaki (antara agensi kerajaan dan korporat - RM 230), bidar 30 pekayuh lelaki (RM350) dan bidar 30 pekayuh lelaki (Petra - RM350).

Kata Suharmin, bagi kategori umum (antarabangsa), yuran bagi bidar 15 pekayuh lelaki adalah sebanyak RM170, bidar 15 pekayuh campuran (10 lelaki dan lima wanita - RM170.00), bidar 20 pekayuh lelaki (RM230), bidar 20 pekayuh campuran (15 lelaki dan lima wanita - RM230) dan bidar 30 pekayuh lelaki (RM350).

“Yuran sebanyak RM300 akan dikenakan untuk penyertaan acara 20 pekayuh lelaki Kenyalang Campuran (15 lelaki dan lima wanita - RM 300) dan Kenyalang 20 pekayuh lelaki (IPTA/IPTS - RM300).

Borang penyertaan, katanya, boleh didapati di Tingkat 2, Electra House, Kuching, sehingga jam 12 tengah hari pada 28 Oktober.

“Cabutan undi dan taklimat pengurus pasukan akan diadakan di Tingkat 3, Electra House, Kuching pada jam 9.00 pagi, 10 November."

Mereka yang berminat dan inginkan maklumat lanjut, boleh menghubungi jawatankuasa kecil pertandingan sukan air di talian 082-234093.