Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan menghidupkan semula Sukan Sarawak (Suksa) bagi mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Kejohanan serupa sebenarnya pernah menjadi landasan untuk pemilihan pemain sebelum ini, namun ia berlaku berdekad lalu.

“Sebagai persiapan untuk menghadapi Sukma 2018 di Ipoh, kami akan anjurkan lagi kejohanan ini supaya dapat memilih atlet-atlet yang berbakat di peringkat akar umbi berdasarkan model kejayaan lalu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SSC merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee.

Menurutnya, pihaknya akan membincangkan kertas kerja pengelolaan kejohanan tersebut pada minggu hadapan, sesuai dengan tarikh kejohanan yang juga dijadualkan pada tahun hadapan.

“Ketika penganjuran Suksa pada penghujung 1980-an, Sarawak berjaya mencungkil bakat-bakat besar yang kemudian membantu negeri ini menjadi juara Sukma secara hatrik pada tahun 1990, 1992 dan 1994,” katanya.

Sebanyak lapan acara sukan pilihan dicadangkan dalam Suksa, iaitu memanah, menembak, akuatik, karate, angkat berat, olahraga, sepak takraw, berbasikal dan golf.

“Dianjurkan secara zonal iaitu melibatkan zon utara, selatan dan tengah, kejohanan yang dijadualkan pada November itu dijangka melibatkan lebih 3,000 atlet berbakat dari segenap pelosok negeri Sarawak.

“Ia adalah program pencarian bakat yang menyeluruh sehingga ke kawasan pedalaman bagi mencari mereka yang boleh diketengahkan."

Katanya lagi, turut dicadangkan dalam kertas cadangan adalah kategori untuk orang kelainan upaya atau OKU, namun segala-galanya terpulang kepada keputusan mesyuarat pada minggu depan.

Sarawak berazam untuk merampas takhta Sukan Malaysia 2018 selepas gagal melakukannya di Kuching, Julai lalu, apabila kalah tipis kepada kontinjen Selangor.