Presiden Persatuan Angkat Berat Negeri Sarawak (PABNS), Gerald Rentap Jabu, meluahkan kekecewaannya selepas Majlis Sukan Negara (MSN) menggugurkan acara angkat berat dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

"Kami telah membuat persediaan rapi, malah atlet-atlet kami telah mula menjalani latihan pusat sejak beberapa bulan lalu.

"Kumpulan atlet peperiksaan pula akan mula menjalani latihan pusat pada awal bulan depan," katanya.

Justeru, tambahnya, sewajarnya keputusan kontroversi yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, itu amat memedihkan bagi pihaknya.

"Umpama dihiris sembilu," kata Rentap. "Kami khuatir ini akan melemahkan semangat dan mematikan motivasi atlet-atlet berbakat yang telah kami kumpulkan dari seluruh negeri.

"Memang kami bukan penakluk emas dalam sukan ini, namun prospek itu tetap ada."

Ujarnya, tindakan menggugurkan acara angkat berat dalam Sukma 2018 disebabkan penyalahgunaan dadah adalah tidak wajar.

“Kenapa kita perlu buang nasi sebelanga kalau sebutir yang rosak. Nila yang tumpah itu bukannya banyak...buanglah yang rosak.

"Kerana kumpulan yang kecil, sukan ini dihancurkan sedemikian rupa. Ini tidak adil dan tidak matang," tegasnya lagi.

Katanya, atlet-atlet yang bermasalah ini adalah atlet kebangsaan di bawah tanggungjawab MSN, jadi merekalah yang harus memikul tanggungjawab.

“Kami di peringkat negeri, terutama Sarawak, memang mengambil serius akan isu doping sehingga kami menjemput Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dalam kejohanan yang kami anjurkan," ujarnya.

Rentap berharap Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak berdiam diri dan membuat rayuan bersama-sama semua persatuan negeri mendesak MSN agar menarik balik keputusan itu.

Selain angkat berat, turut digugurkan ialah taekwondo dan sepak takraw daripada senarai sukan teras.