Sarawak berjaya membida empat acara sukan berstatus antarabangsa yang akan berlangsung pada 2019, demikian kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, dua daripada acara tersebut ialah Kejohanan Olahraga Asia Masters Ke-21 dan Kejohanan Renang Para Dunia, yang akan berlangsung di Bandaraya Kuching.

Turut dianjurkan di Kuching dalam tempoh yang sama ialah Kejohanan Boling Tenpin Belia Asia dan Kejohanan Karate Asia B-21 Ke-18.

"Kejayaan bidaan ini adalah hasil kesungguhan Perbadanan Sukan Sarawak yang berusaha gigih mempromosikan negeri ini sebagai produk pelancongan sukan," katanya yang ditemui Stadium Astro sejurus kembali dari London, hari ini.

Katanya, sepanjang tahun ini, Sarawak telah berjaya menganjurkan sebelas acara berstatus antarabangsa, antaranya termasuklah Kejohanan Badminton Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2017 dan Kejohanan Terjun Dunia Fina 2017.

Menyentuh persediaan kontijen Sarawak bagi menjayakan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 di Perak, Abdul Karim berkata pasukan Sarawak akan memulakan persediaan lebih awal.

"Selepas menganjurkan Sukan Sarawak (Suksar) yang akan bermula dua minggu akan datang, kita merancang untuk mengadakan latihan pusat fasa pertama.

"Latihan selama empat bulan ini akan berlangsung pada Januari melibatkan lebih 2,000 atlet," katanya.

Pada Februari, katanya, Perbadanan Sukan Sarawak akan menganjurkan kem motivasi untuk atlet dan jurulatih, bagi memantapkan mental mereka untuk kejohanan penting terbabit.

"Kita percaya dengan persediaan rapi ini, kita akan menghasilkan bakat hebat yang akan membantu kita mencapai sasaran juara dalam temasya dwi-tahunan itu," katanya.

Tambahnya, bagi mencapai impian ini, Sarawak telah membawa masuk 19 jurulatih asing melibatkan 13 acara sukan.