Atlet taekwondo poomsae negara, Sara Yap, sedia bangkit bagi menghadapi saingan sepanjang tahun ini selepas gagal membutirkan sebarang pingat dalam Sukan SEA Filipina bulan lalu.

Dalam temasya itu, skuad poomsae negara hanya meraih satu pingat emas menerusi gandingan Jason Loo dan Nurul Hidayah Abdul Karim dalam acara berpasangan campuran.

Sandaran utama, Sara, pula gagal mempamerkan aksi terbaik kerana masih bergelut dengan kecederaan.

Bagaimanapun, dia tidak mudah patah semangat dan menyasarkan kebangkitan dalam Kejohanan Asia, Mac depan dan Kejohanan Dunia dua bulan kemudian.

"Daripada segi latihan, saya sudah memperbaiki kesilapan yang dilakukan tahun lalu.

"Tahun ini, kami juga akan menyertai beberapa kejohanan lain.

"Jadi, harapan saya adalah untuk memperoleh kedudukan podium dalam setiap kejohanan yang disertai," katanya.

Sara kini lebih yakin untuk kembali ke prestasi sebenar kerana mempunyai lebih masa untuk menjalani pemulihan dengan sebaik-baiknya.

"Berbanding musim lalu, ia semakin baik kerana selepas Sukan SEA, saya fokus untuk merawat kecederaan saya.

"Memandangkan saya sudah menamatkan pengajian di universiti, saya mempunyai lebih masa.

"Sebagai contoh, jika saya mempunyai dua sesi latihan, saya akan berlatih dalam sesi pertama dan menjalani pemulihan dalam sesi kedua," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa