Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998, Sapok Biki, berpandangan pelantikan jurulatih tinju baru negara, Rustam Saidov, bakal menghidupkan kembali tinju Malaysia dan merealisasikan impian tinju ke Sukan Olimpik yang tenggelam sejak 1996.

"Pengambilan jurulatih baru daripada Uzbekistan adalah jalan terbaik untuk meningkatkan prestasi tinju Malaysia," katanya.

Sapok sendiri berkongsi bahawa dia pernah berlatih di bawah jurulatih daripada Kyrgstan dan Russia itu selama dua tahun sehingga menjejak pentas Olimpik.

Antara perlawanan terbaik Sapok adalah di bawah bimbingan jurulatih Russia itu di medan, Indonesia pada tahun 1994.

Sapok percaya gaya tinju yang dibawa oleh Rustam iaitu Soviet Union Style akan kembali menghidupkan kancah sukan tinju di Malaysia.

"Soviet Union Style lebih mengutamakan teknikal ketika bertinju, mengenal pasti kemampuan lawan. Tidak mengutamakan kepada tenaga semata-mata mereka lebih mengutamakan bertinju sambil berfikir," katanya.