Sangari korbankan sambutan Deepavali

Oleh Penulis Jemputan 17 Oktober 2017 95
Sangari korbankan sambutan Deepavali
Bintang skuasy negara yang sedang meningkat naik , S. Sivasangari, rela melupakan sambutan Deepavali demi memburu kegemilangan dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, bermula esok hingga Sabtu ini.

Sangari lebih memikirkan persiapan fasa akhir berbanding sambutan Deepavali bersama keluarga, apatah lagi dia akan memulakan kempen dalam peringkat kelayakan esok.

"Tahun ini, fokus saya adalah terarah kepada Terbuka Malaysia sebab ia sangat penting untuk menaikkan ranking saya. 

"Deepavali, anda boleh meraikannya pada setiap tahun tetapi Terbuka Malaysia bukannya selalu kembali selepas beberapa tahun. Bukannya tidak mahu meraikan Deepavali tetapi saya perlu menumpukan perhatian kepada kejohanan itu," katanya.

Ia merupakan penganjuran pertama Terbuka Malaysia di bawah penaja baru selepas kali terakhir dianjurkan pada 2014 yang diungguli pemain Mesir.

Bagi Sangari, dia dan pemain Malaysia yang lain sebenarnya memainkan peranan penting dalam mengembalikan prestij kejohanan ini.

"Rasanya bagus apabila Terbuka Malaysia dianjurkan semula tetapi kali ini ia kejohanan kecil, dulu ia seperti siri dunia. 

"Kali ini (hadiah) untuk lelaki 25,000 dan wanita hanya 10,000. Bagi saya, ia bagus kerana Terbuka Malaysia telah kembali dengan penaja baru," katanya.

Dalam pusingan pertama nanti, perlawanan paling mencuri tumpuan sudah pasti di antara Mohd Nafiizwan Adnan dan Ng Eain Yow.

Sementara itu, Sangari menanti pemain dari kelompok kelayakan yang masih belum pasti sementara Rachel Arnold pula akan menentang Aika Azman.

Nicol David adalah pemain wanita paling berjaya dalam kejohanan itu selepas memenanginya sebanyak tujuh kali dari 2005 hingga 2011.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen