Juara kategori wanita elit Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu 2016, Sandi Menchi Catlona Abahan, menyasarkan untuk sekali lagi menaiki podium dalam kejohanan sama yang berlangsung esok.

Pelari dari Filipina itu berkata walaupun memikul tekanan selaku juara bertahan, dia tetap mahu mengakhiri perlumbaan pada kedudukan terbaik.

"Sasaran saya kali ini adalah untuk memperbaiki catatan masa peribadi, dan sudah pasti saya ingin sekali lagi mengakhiri perlumbaan ini dengan menaiki podium," katanya ketika ditemui di Taman Kinabalu, Ranau, hari ini.

Sandi berkata persiapannya untuk menghadapi kejohanan edisi ke-30 itu berjalan dengan baik dan dia juga berada dalam keadaan sihat serta cergas untuk perlumbaan esok.

"Saya banyak melakukan latihan menaiki dan menuruni tangga kerana laluan perlumbaan ini banyak menggunakan tangga.

"Selain itu, saya juga telah melakukan latihan di Gunung Kinabalu pada Isnin lalu, namun tidak sampai ke puncak dan hanya sampai ke pondok Sayat-Sayat...ia 'ok', " katanya.

Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu akan membuka tirainya awal pagi esok, dengan 129 peserta berkelayakan termasuk dari luar negara menyertainya.

Seperti tahun lalu, hanya dua kategori dipertandingkan pada tahun ini iaitu lelaki dan wanita elit.

Peserta akan berlari sehingga ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095.2 meter sebelum turun semula ke Tapak Warisan Dunia UNESCO di Taman Kinabalu bagi menamatkan perlumbaan.