Juara kategori wanita elit kejohanan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu, Sandi Menchi Catlona Abahan, 27, tetap puas hati dengan pencapaiannya walaupun tidak dapat memperbaiki catatan masa peribadinya pada tahun lalu.

Pelari dari Filipina itu mempertahankan kejuaraan yang dicapainya tahun lalu dengan catatan masa 3 jam 4 minit 30 saat.

"Perlumbaan kali ini sangat-sangat mencabar dengan keadaan hujan dan angin kencang. Saya fikir saya hampir beku di atas sana (Gunung Kinabalu).

"Ia mungkin satu faktor saya tidak dapat memperbaiki catatan masa saya pada tahun lalu tetapi saya tetap gembira dengan pencapaian ini. Bukan mudah untuk berlari sebagai juara bertahan.

"Apa yang saya fikirkan lepas ini, saya mahu tidur dan makan sepuas-puasnya," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan itu, pagi tadi.

Kategori wanita elit juga menyaksikan pelari dari Malaysia, Anineh Dainin, muncul pemenang tempat kedua dengan masa 3:09:33s manakala pelari Kenya, Valentine Jepkemoi Serem, di tempat ketiga dengan catatan masa 3:28:07s.

Perlumbaan kali ini terpaksa dipendekkan sehingga ke Panalaban dan tidak sampai ke puncak Gunung Kinabalu berikutan keadaan cuaca buruk.

Berikutan itu, beberapa peserta juga terpaksa menarik diri daripada menyertai perlumbaan gunung paling mencabar di dunia itu.