Ujian sampel B atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor, akan dijalankan di Sydney, Australia, dengan Malaysia masih menunggu maklum balas Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) mengenai tarikh paling sesuai.

Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sudah memaklumkan makmal ujian doping di Sydney untuk menjalankan ujian sampel B atlet itu.

PABM hanya menunggu maklum balas IWF untuk memilih tarikh paling sesuai kerana perlu membuat persiapan menghantar Hafifi untuk menyaksikan ujian itu.

Apatah lagi, makmal ujian doping di Sydney agak asing buat atlet negara kerana kebanyakan sampel dihantar ke New Delhi, India atau Bangkok, Thailand.

Sampel A air kencing Hafifi dikesan positif oxymetholone, sejenis ejen steroid, ketika menyertai Kejohanan Terbuka Australia, Mac lalu.

Jika sampel B juga positif, ini bermakna PABM mencatat kes doping dalam tempoh empat tahun berturut-turut, sekali gus berdepan risiko digantung oleh IWF.

“Dua atlet negara telah didapati positif menggunakan bahan terlarang, bukan ketika mereka sedang menyertai kejohanan. Saya berharap PABM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara ini,” kata Setiausaha Kehormat PABM, Abu Hanapah Ismail.