Syaidatul Afifah Badrul Hamidi mengakui terharu dengan pengakuan ketua jurulatih, Holloway Cheah, yang menyifatkan pasukan boling tenpin wanita negara ketika ini adalah antara yang terbaik pernah dilahirkan selepas mereka memenangi pingat emas Kejohanan Boling Tenpin Dunia 2017 di Las Vegas, minggu lalu.

Sebelum melangkah ke Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), pasukan boling wanita negara masih segar dengan kejayaan meraih pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, sekaligus membuktikan prestasi konsisten yang dimiliki mereka.

Jelas Afifah, kualiti yang dimiliki kesemua rakan sepasukannya, iaitu Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane dan Natasha Roslan tidak jauh beza selain pengalaman Shalin Zulkifli dan Esther Cheah yang menawarkan nilai tambah.

"Kami berenam sudah bergandingan sejak dua tahun lalu. Menurut jurulatih (Holloway), sebelum ini agak sukar untuk mendapatkan kesemua pemain yang boleh memberikan aksi mantap.

"Tetapi, dia kini berdepan kesukaran untuk memilih lima daripada enam pemain wanita negara dalam setiap kejohanan.

"Justeru, pemilihan pemain bergantung kepada acara individu dan beregu," katanya.

Mengenai perancangan tahun depan, Afifah akan menyertai beberapa kejohanan di Eropah pada bulan depan sebagai langkah menghadapi Sukan Asia 2018, Ogos depan.

"Kami akan ke Sweden sebelum ke Finland pada bulan depan. Ada banyak lagi kejohanan yang akan kami hadapi selepas pulang dari sana seperti Terbuka Singapura, Terbuka Malaysia dan kemudian membuat persiapan untuk Sukan Asia," tambahnya.