Susulan kejayaan melayakkan diri ke Divisyen 1, Kelayakan Piala Dunia Bawah 19 Tahun Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) Asia, skuad negara kini memberikan tumpuan penuh terhadap Kejohanan Piala Asia di Sri Lanka pada Disember depan.

Skuad negara mempamerkan aksi yang cukup menakjubkan apabila menjuarai Divisyen 2 selepas menewaskan Singapura dengan kelebihan enam wicket dalam perlawanan akhir, Khamis lalu.

Antara faktor utama kejayaan Malaysia sudah pasti kerana aksi cemerlang kapten, Virandeep Singh.

Virandeep berkata, cabaran kini adalah untuk memastikan dia dan rakan sepasukan mampu bersaing di tahap yang lebih tinggi kerana Piala Asia bakal menampilkan negara handalan kriket seperti India dan Pakistan.

“Piala Asia adalah satu kejohanan yang baru, kami akan berdepan cabaran yang lebih sengit. Sri Lanka, Bangladesh, India dan Pakistan adalah pasukan handalan dalam kejohanan ini.

"Jadi, saya berpendapat adalah penting buat kami mempertingkatkan lagi persiapan kerana kami akan beraksi untuk Malaysia. Ia akan menjadi cabaran yang baik buat kami," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain negara, Mohd Hafiz Khair, berpandangan kejayaan skuad bawah 19 ini dapat dijadikan inspirasi buat pemain-pemain muda yang lain.

Katanya, antara kunci utama buat pasukan Malaysia adalah semangat perpaduan yang cukup tinggi dan dia berharap ia dapat diteruskan.

“Pada saya, pasukan kami telah mempamerkan aksi yang terbaik dan kunci kejayaan kami ialah kesatuan di antara pemain.

"Selepas ini, mungkin ada ramai lagi pemain-pemain serta wajah-wajah baru yang akan bermain kriket di Malaysia,” kata Hafiz.

Malaysia menewaskan Singapura dengan 135 larian dengan empat wicket sementara Singapura memperoleh 134 larian.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia memperoleh tiket ke Piala Asia Bawah 19 Tahun, serta tiket menyertai Divisyen 1 Piala Dunia pada tahun depan yang mana juara bakal memperoleh tempat ke Piala Dunia 2018.