Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA) membuktikan kejaguhan menjuarai kategori bawah 16 tahun Kejohanan Ragbi NRDP/Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), kelmarin.

Wakil dari Kedah itu mengalahkan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) 15-7 dalam aksi final di Kompleks Sukan Gong Badak untuk membawa pulang trofi dan medal.

Mendahului menerusi tiga try daripada Muhammad Zikri Zakaria, Muhammad Izzad Ikhmal Mohd Zawi dan Izzudin Irfan Muhammad Sukri, SAINA dikejutkan dengan kebangkitan lawan di penghujung saingan.

Satu try melalui Muhammad Imran Yusri serta satu conversion daripada Muhammad Faiq Syahmi begitupun sudah terlewat untuk menghalang kemenangan pasukan pilihan itu.

"Memang kedatangan kami dari jauh hanya mensasarkan kejuaraan dan persiapan rapi telah membuahkan hasil dengan menang semua lima perlawanan.

"Ini merupakan kejuaraan kedua selepas memenangi Kejohanan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sevens, Julai lalu," kata Izzad Ikhmal yang diumum selaku pemain terbaik.

Sementara itu, kategori lelaki B-15 pula dimenangi Maktab Sultan Abu Bakar yang mengatasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn manakala SMK Sultan Sulaiman menjuarai kategori B-14.

Turut diadakan acara perempuan yang menyaksikan Sekolah Menengah (SM) Sains Hulu Selangor mengungguli kategori touch B-16 sementara SM Sains Kuala Berang memenangi kategori B-14.