Pemain futsal negara, Saiful Nizam Ali, mengakui tidak rela terlepas Kejohanan Futsal AFF 2017 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam bulan ini selepas hasratnya untuk beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tidak kesampaian.

Saiful adalah antara tonggak harapan skuad futsal negara sejak sekian lama.

Namun, kudratnya tidak dapat digunakan ketika Sukan SEA Kuala Lumpur kerana mengalami kecederaan buku lali.

Kembali ke pangkuan skuad negara untuk menghadapi Kejohanan AFF, pemain yang beraksi di posisi pivot ini mengharapkan tidak lagi dibelenggu kecederaan.

“Pemain-pemain semakin matang dalam permainan. Saya perlu berusaha untuk membantu pasukan mara ke final di Vietnam nanti,” kata Saiful.

Saiful yang juga pemain futsal Melaka United, bagaimanapun, berdepan saingan hebat untuk berada dalam skuad akhir negara ke Kejohanan AFF.

Ini susulan persembahan meyakinkan yang dipamer semua pemain, termasuk beberapa muka baru menerusi kejayaan meraih pingat perak dalam Sukan SEA lalu.

Dan perkara itu tidak dinafikan pengendalinya, Chiew Chun Yong.

“Saiful sudah kembali ke dalam pasukan selepas pulih daripada kecederaan. Saya sangat berpuas hati dengan usahanya untuk mendapatkan semula tempat dalam pasukan,” katanya.