Bekas atlet nombor tiga dunia bagi acara lompat jauh T-12, Saifuddin Ishak, berhempas-pulas untuk mendapatkan semula momentum selepas berehat setahun akibat kecederaan.

Selain itu, dia berdepan cabaran rakan senegara, Jonathan Wong, yang juga penyumbang pingat emas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, September lalu.

Saifuddin tiada tandingan dalam klasifikasinya sebelum ini, namun kehadiran Jonathan membuatkan atlet para itu perlu lebih bekerja keras bagi mempertahankan kedudukannya.

Kemunculan pertama Jonathan dalam Sukan Para ASEAN menghadirkan emas apabila atlet kelahiran Sabah itu cemerlang dengan lompatan 6.98 meter dan ia turut menyamai catatan Saifuddin ketika meraih kedudukan ketiga dalam Kejohanan Dunia Qatar dua tahun lalu.

"Apabila ada pesaing, setiap kali berlatih ia menambahkan lagi semangat. Bila fikir semula, kita ada pesaing, jadi perlu lebih fokus daripada sebelum ini.

"Selepas pulih daripada kecederaan, semangat dianggap datang semula. Rasa lebih segar," katanya.

Saifuddin turut tersenarai selaku atlet baru Program Podium bagi 2018 dan ia menyemarakkan semangat untuknya kembali kepada prestasi terbaik.

Jurulatihnya, Shahrul Amri Suhaimi, menegaskan Saifuddin tidak memiliki banyak pilihan kerana cabaran daripada Jonahan tidak kurang hebat selain turut dilabel selaku calon atlet seterusnya untuk cemerlang di pentas paralimpik.

"Daripada segi pengalaman, saya lihat kedua-dua atlet itu sama. Jonathan berpengalaman dalam beberapa edisi Sukma, begitu juga Saifuddin.

"Cuma, saya mahu melihat dia dapat memulihkan prestasinya," katanya.