Penganjuran Sukan Sabah (SAGA) adalah antara platform disediakan kerajaan negeri bagi memastikan Sabah tidak ketandusan atlet berpotensi.

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata menerusi SAGA, negeri itu dapat mencungkil bakat serta melahirkan atlet-atlet berpotensi untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

"Di samping itu, ia juga selaras dengan objektif Dasar Sukan Negeri Sabah dan Dasar Sukan Negara ke arah pembentukan masyarakat berbudaya sukan seterusnya, mencapai kecemerlangan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pembukaan rasmi SAGA kali kelapan di Kompleks Sukan Sandakan, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Musa turut berpesan kepada semua peserta SAGA untuk bertanding dengan semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi.

"Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua kontijen dan para pemenang nanti. Semoga kejayaan ini akan dijadikan platform untuk terus berusaha meningkatkan pencapaian masing-masing," katanya.

*Kredit foto Jabatan Penerangan Sabah