Tenom mempertahankan kejuaraan dalam acara bola sepak wanita Sukan Sabah (SAGA) 2017 selepas menewaskan Penampang 3-1 dalam aksi final di Kompleks Sukan Sandakan, pagi tadi.

Juara bertahan itu bermula garang apabila mendahului Penampang 2-0 menerusi jaringan Juriwawatie Tarius dan Rozina Andingi, masing-masing pada minit ketujuh dan 15.

Bagaimanapun, Penampang merapatkan jurang pada minit ke-33 menerusi jaringan Joanna Marianna Sitin bagi menjadikan kedudukan 2-1 dan ia kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Tenom dilihat semakin ghairah memburu jaringan, namun beberapa cubaan mereka gagal diterjemahkan kepada gol, sama ada diselamatkan penjaga gol ataupun tersasar manakala Penampang yang turut memiliki peluang gagal menympurnakannya dengan baik.

Tenom kemudian mengesahkan pingat emas kekal menjadi milik mereka apabila menambah satu lagi gol pada minit ke-66 menerusi Henrietta Justine dengan kedudukan 3-1 itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Terdahulu, Tuaran muncul pemenang pingat gangsa selepas menewaskan Tongod 3-0.

Dalam perkembangan lain, pasukan hoki wanita Keningau mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam SAGA 2015 selepas menundukkan Tawau 2-0 dalam final, pagi tadi.

Bagaimanapun, pasukan lelaki mereka yang juga juara dua tahun lalu dikecewakan Kota Kinabalu selepas tewas 0-1 dalam final.