Pasukan wanita Penampang kenduri gol selepas membelasah Sipitang 8-0 dalam acara bola sepak Sukan Sabah (SAGA) 2017 di Padang Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sandakan, hari ini.

Kemenangan besar itu membolehkan mereka mendahului Kumpulan B walaupun Tongod turut menang 6-1 ke atas Sandakan dalam satu lagi perlawanan.

Sementara itu, Tenom juga bermula garang apabila membenam Tawau 6-2 dalam aksi Kumpulan A manakala satu lagi perlawanan menyaksikan Tuaran terikat 1-1 dengan Kota Marudu.

Acara bola sepak lelaki Kumpulan A menyaksikan Nabawan menewaskan Sipitang 2-1 manakala Lahad Datu dan Kota Kinabalu seri 2-2.

Kinabatangan pula meneraju Kumpulan B selepas menang tipis 1-0 ke atas Pitas dan Sandakan seri 1-1 dengan Tuaran.

Dalam perkembangan lain, skuad hoki wanita Keningau meneruskan kecemerlangan mereka apabila membelasah Tuaran 4-0.

Lain-lain keputusan menyaksikan Kota Belud seri 1-1 dengan Tawau, Beaufort terikat tanpa jaringan dengan Kota Kinabalu dan Telupid menewaskan Sandakan 2-0.

Bagaimanapun, pasukan lelaki Keningau sekadar seri 1-1 dengan Kota Belud manakala Papar dan Sandakan terikat 1-1.

Lahad Datu pula merampas kedudukan teratas daripada Keningau selepas membelasah Beaufort 7-0.