Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berharap penganjuran Sukan Sabah (SAGA) akan menjadi medan yang mampu mencungkil lebih ramai bakat muda untuk mengharumkan nama negeri berkenaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dia berkata pendekatan Kementerian Belia dan Sukan Sabah memperluaskan skop pertandingan SAGA daripada enam zon pada peringkat awal penganjuran, kepada penyertaan 27 daerah merupakan satu langkah terbaik untuk memperluaskan proses pengenalpastian bakat.

"Konsep penganjuran seperti ini memberi peluang kepada atlet-atlet remaja di luar bandar supaya boleh menyertai kejohanan di peringkat negeri.

"Selain itu, ia memberi peluang dan pendedahan kepada pegawai sukan khususnya, jurulatih, pegawai teknikal dan pentadbir sukan dalam suasana penganjuran sukan sebenar," katanya ketika berucap sempena perasmian pembukaan SAGA kali ke-9 di Kompleks Sukan Keningau, malam tadi.

Sementara itu, Mohd Shafie juga berkata, menyedari pentingnya sukan ke arah pembangunan modal insan kelas pertama, kerajaan Sabah akan terus membina prasarana sukan di peringkat daerah, bahagian dan negeri dalam usaha mewujudkan masyarakat berbudaya sukan.

“Saya berharap penganjuran SAGA kali ini akan menjadi medan yang boleh mencungkil lebih ramai bakat muda untuk mengharumkan nama negeriini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa."