SAGA: Masiung mahu lahirkan generasi atlet berkualiti

Oleh Willie Jude 8 Disember 2017 196
SAGA: Masiung mahu lahirkan generasi atlet berkualiti
Sukan Sabah (SAGA) 2017 yang berlangsung di Sandakan dari 9 hingga 15 Disember ini diharap mampu melahirkan satu generasi atlet yang mampu menjulang nama negeri itu di peringkat nasional.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan (KBS) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata antara objektif utama sukan dwitahunan itu dianjurkan adalah untuk melahirkan atlet berkualiti selain mahu menjadikan Sabah sebagai antara kuasa sukan di Malaysia.

"Kami mengharapkan atlet yang datang ke sini (Sandakan) bukan setakat mahu memenangi pingat untuk diri sendiri dan kontinjen yang diwakili.

"Kami harap mereka meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu keinginan menjulang nama Sabah di peringkat nasional," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan raptai penuh perasmian pembukaan SAGA di Kompleks Sukan Sandakan.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KBS Sabah, Datuk Awang Damit Awang Anak, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Terence Pudin, dan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Datuk Penyuki Matta.

Sementara itu, Masiung berpuas hati dengan persiapan dan perjalanan SAGA 2017 setakat ini.

"Kami harap perjalanan SAGA tahun ini berjalan lancar sehinggalah pada hari terakhir," katanya.

Upacara pembukaan nanti akan dirasmikan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen