SAGA: Kota Kinabalu tidak boleh dipintas lagi 

Oleh Willie Jude 12 Disember 2019 369
SAGA: Kota Kinabalu tidak boleh dipintas lagi 
Walaupun masih berbaki sehari sebelum Sukan Sabah (SAGA) Ke-9 melabuhkan tirainya, Kota Kinabalu kini sudah boleh dinobatkan sebagai juara selepas mengumpul 29 pingat emas, 26 perak dan 23 gangsa. 

Kedudukan itu sudah tidak boleh dipintas kontinjen tuan rumah, Keningau, walaupun masih ada tiga emas yang bakal dipertandingkan esok, termasuk dua aksi final membabitkan skuad hoki lelaki dan wanita Keningau. 

Tuan rumah itu kini mengumpul 25 emas, 18 perak, dan 17 gangsa untuk berada di kedudukan kedua dan sekiranya mereka mampu menyapu dua emas dalam acara hoki, mereka masih ketinggalan di belakang Kota Kinabalu. 

Selain hoki, satu lagi emas yang dipertandingkan esok adalah acara tenis, namun tidak membabitkan atlet Keningau. 

Bagaimanapun, kedudukan Keningau itu sudah tidak boleh dicabar lagi kerana kontinjen lain juga sudah tidak mampu untuk mengejar mereka. 

Tempat ketiga pula menjadi milik Tawau manakala Sandakan di kedudukan keempat.

Sementara itu daripada 27 kontinjen yang bertanding, hampir kesemua berjaya menuai emas kecuali Kudat, Telupid dan Kuala Penyu manakala Kunak pula sehingga kini masih belum mengutip sebarang pingat. 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen