Kota Kinabalu (KK) mengesahkan kejuaraan Sukan Sabah (SAGA) dengan tambahan satu lagi pingat emas di hari terakhir temasya hari ini bagi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 emas, 26 perak dan 23 gangsa.

Emas ke-30 dikutip mereka adalah menerusi acara hoki lelaki selepas menewaskan tuan rumah, Keningau, 4-2 dalam aksi final di Stadium Hoki Keningau pagi tadi.

Keningau turut mengesahkan kedudukan naib juara keseluruhan SAGA dengan tambahan satu pingat emas menerusi acara hoki wanita yang menyaksikan mereka menang tipis 1-0 ke atas Tawau dalam final.

Emas berkenaan menjadikan jumlah kutipan pingat Keningau sebanyak 26 emas, 18 perak dan 17 gangsa.

Tawau yang berada di kedudukan ketiga juga masing-masing menambah satu lagi perak dan gangsa bagi menjadikan jumlah keseluruhan pingat mereka sevanyak 15 emas, 16 perak dan 12 gangsa.

Hari terakhir SAGA juga menyaksikan Sandakan yang berada di tempat keempat menambah satu lagi pingat emas dan satu gangsa bagi menjadikan jumlah sebanyak 12 pingat emas, 10 perak serta 16 gangsa.

Emas terakhir yang dikutip Sandakan adalah menerusi acara tenis yang juga berlangsung pagi tadi.

Sementara itu daripada 27 kontinjen yang bertanding, hampir kesemua berjaya menuai pingat emas kecuali Kudat, Telupid dan Kuala Penyu manakala Kunak pula gagal mengutip sebarang pingat.