Kontinjen Keningau terus mengukuhkan kedudukan pungutan pingat mereka pada hari kelima Sukan Sabah (SAGA) 2017 apabila menambah beberapa lagi emas untuk jumlah 18 emas.

Tuan rumah, Sandakan, pula naik ke kedudukan kedua walaupun memiliki jumlah pingat emas yang sama dengan Kota Kinabalu sebanyak 11 emas.

Sandakan memiliki kelebihan pingat perak, iaitu sembilan selain sembilan lagi gangsa manakala Kota Kinabalu kini mengumpul tujuh perak dan 14 gangsa untuk berada di kedudukan ketiga.

Tawau pula berada di kedudukan keempat dengan kutipan 10 pingat emas, disusuli Papar (9 emas), Kota Belud (6 emas) dan Ranau (4 emas).

Sementara itu, Putatan, Tuaran, Beaufort, dan Tenom masing-masing berada di kedudukan kelapan, kesembilan, kesepuluh, dan kesebelas walaupun mengumpul jumlah emas yang sama, iaitu tiga pingat, namun kedudukan mereka ditentukan menerusi perbezaan pingat perak serta gangsa.

Kota Marudu, Tambunan, dan Pitas pula masing-masing mengumpul dua emas manakala Penampang, Telupid dan Kudat masing-masing mengumpul satu emas.

Lain-lain kontinjen setakat ini masih belum memenangi pingat emas, termasuk tiga kontinjen, iaitu Kunak, Semporna dan Kuala Penyu yang belum memungut sebarang pingat.

Sebanyak 32 lagi pingat dipertandingkan esok, dengan olahraga paling banyak menawarkan pingat emas (15) emas manakala selebihnya taekwondo (8), petanque (3), ping pong (2), memanah (2) dan basikal (2).

*Rangkuman di atas dibuat berdasarkan kedudukan pingat setakat jam 6 petang hari ini.