Keningau tampil selaku kuasa baru sukan di Sabah selepas muncul juara Sukan Sabah (SAGA) 2017 yang melabuhkan tirainya di Sandakan, hari ini.

Kontinjen dari pedalaman yang menghantar seramai 338 atlet dan pegawai itu turut memecahkan dominasi Kota Kinabalu yang muncul juara keseluruhan SAGA sejak ia dianjurkan pada 2003.

Pada edisi 2003, 2005 dan 2007, SAGA dianjurkan menerusi penyertaan mengikut zon dengan kesemua tahun berkenaan dimenangi Zon Pantai Barat Selatan yang turut diwakili atlet dari Kota Kinabalu.

Pada SAGA edisi kelapan tahun ini, Keningau mengumpul sejumlah 76 pingat, iaitu 31 emas, 26 perak dan 19 gangsa. Naib juara keseluruhan pula menjadi milik tuan rumah selepas mengumpul sejumlah 64 pingat, iaitu 24 emas, 19 perak dan 21 gangsa.

Sementara itu, Kota Kinabalu sekadar berada di tempat ketiga dengan 22 emas, 16 perak dan 31 gangsa.
Tawau pula berada di kedudukan keempat dengan 21 emas, 27 perak dan 25 gangsa.

Kota Belud dan Papar pula masing-masing di kedudukan kelima dan keenam selepas mengumpul 14 pingat emas, namun dibezakan dengan perbezaam pungutan pingat perak dan gangsa.

SAGA edisi kesembilan bakal berlangsung di Keningau, Tambunan dan Tenom sebagai penganjur bersama pada 2019.

Kredit imej: Volentine Jiloh (Jabatan Penerangan Sabah)