Ketua pasukan skuad wanita bawah 14 tahun kebangsaan, Hellma Emily Joinin, membantu pasukannya, Kota Marudu, membenam Tawau 4-0 dalam aksi Kumpulan A acara bola sepak Sukan Sabah (SAGA) 2017 di Sandakan, pagi tadi.

Hellma, 14, adalah pemain yang 'dilahirkan' menerusi program Kem Bola Astro pada 2013 dan kini belajar di Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

Kehadiran pemain itu yang bertindak sebagai kapten Kota Marudu ternyata memberi sedikit kelebihan kepada pasukannya, terutama di bahagian tengah.

Perlawanan itu menyaksikan Hellma turut menyumbat satu gol manakala penyerang mereka, Rina Gomok, menjaringkan dua gol dan Iv. Alleyshiela Jeimin mengesahkan kemenangan bergaya Kota Marudu selepas meledak empat gol.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Tenom mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas apabila mencatat kemenangan kedua ke atas Tuaran 2-1.

Sementara itu, bagi aksi Kumpulan B, Penampang sekali lagi berpesta gol apabila menjinakkan Sandakan 8-2 manakala Tongod turut menang besar 7-0 ke atas Sipitang.

Dalam perkembangan lain, Kumpulan A bola sepak lelaki menyaksikan Nabawan menang 2-0 ke atas Lahad Datu manakala Kota Kinabalu menang tipis 1-0 ke atas Sipitang.

Bagi Kumpulan B pula, Pitas serta Kinabatangan masing-masing menang 2-1 ke atas Sandakan dan Tuaran.