Keningau memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan Sabah (SAGA) 2019 selepas menewaskan Sandakan 2-0 dalam aksi final di Stadium Keningau sebentar tadi.

Beraksi di hadapan kira-kira 5,000 penyokong tuan rumah, Sandakan lebih dulu memiliki peluang pada minit ke-29 menerusi Mark Moses Marcellus, namun percubaannya yang hanya berdepan penjaga gol diselamatkan.

Pada minit ke-34, giliran Keningau pula mencemaskan pintu gol lawan menerusi sepakan percuma Fredly Derexlyn Jamly, bagaimanapun sepakan percumanya berjaya ditumbuk keluar oleh penjaga gol.

Sandakan kemudian sekali lagi bernasib baik apabila percubaan Jerdin Sudin pada minit ke-42 sekadar singgah di tiang walaupun penjaga gol sudah tertewas.

Pada minit ke-45, Fredly menceriakan penyokong tuan rumah apabila menyudahkan hantaran baik abangnya, Fernando De Eric Jamly, bagi menjadikan kedudukan 1-0 dan ia kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Sandakan memiliki peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-47 selepas dihadiahkan sepakan penalti.

Bagaimanapun, Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim gagal menyempurnakannya apabila sepakannya tinggi melepasi palang.

Keningau turut memiliki beberapa peluang baik dan salah satunya menerusi rembatan Hilarion Andrew pada minit ke-66, namun ditepis penjaga gol lawan.

Pada minit ke-72, penyokong tuan rumah sekali lagi ceria apabila Alexian Jalius melakukan gerakan solo seterusnya membuat sepakan lambung mengatasi penjaga gol lawan bagi menjadikan kedudukan 2-0 dan ia kekal sehingga tamat permainan.

Dalam perkembangan lain, jaringan tunggal Henrietta Justine sudah cukup untuk menjulang Tambunan sebagai pemenang pingat emas bola sepak wanita selepas menewaskan Kota Kinabalu 1-0 di Kompleks Sukan Tambunan, petang tadi.