Sukan Sabah (SAGA) 2017 yang membuka tirainya di Sandakan hari ini bakal mempertandingkan sebanyak 679 pingat membabitkan 20 jenis sukan.

Selain itu, seramai lebih 6,000 orang terlibat dalam kejohanan dwitahunan berkenaan, iaitu 2,398 atlet lelaki, atlet wanita (1,635), jurulatih (604), pengurus pasukan (293), urus setia kontinjen (130) serta pegawai dan teknikal (1,011).

Sukan edisi kelapan itu juga menerima penyertaan daripada 26 daerah di seluruh Sabah dengan tuan rumah, Sandakan, memiliki kontinjen terbesar seramai 439 orang, disusuli Tawau (343) dan Keningau (338).

Lain-lain daerah yang menyertai ialah Kota Kinabalu; Papar; Putatan; Penampang; Ranau; Tuaran; Kinabatangan; Beluran; Telupid; Tongod; Semporna; Lahad Datu; Kunak; Pitas; Kudat; Kota Belud; Kota Marudu; Nabawan; Tambunan; Tenom; Beaufort; Kuala Penyu; dan Sipitang.

Antara sukan yang dipertandingkan ialah badminton; berbasikal, bola jaring, bola sepak, bola tampar, boling padang, golf, hoki, karate, memanah, olahraga, pencak silat, petanque, ragbi, sepak takraw, taekwando, tenis, tinju, ping pong dan olahraga.

SAGA pada tahun ini secara rasmi bermula dari 9 hingga 15 Disember depan, namun hoki, bola sepak dan sepak takraw dimulakan lebih awal.