Pelari dari Malaysia, Saffrey Sumping, mempertahankan kejuaraannya dalam kejohanan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu yang berakhir di Taman Kinabalu, Ranau, pagi tadi.

Walaupun hujan lebat dan angin kencang, ia tidak menghalang malim gunung berusia 34 tahun itu untuk mengakhiri perlumbaan dengan catatan masa lebih baik berbanding tahun lalu.

Saffrey mencatat masa 2 jam 18.28 minit berbanding 2:21:33s dalam edisi lalu.

"Perlumbaan kali ini agak mencabar, hujan sejak semalam (kelmarin) menyebabkan permukaan laluan licin.

"Pada mulanya, saya ketinggalan di belakang dua peserta lain, namun ketika sampai di Timpohon Gate, saya berjaya mengatasi mereka sehinggalah ke garisan penamat," katanya.

Saffrey berkata walaupun dinobat sebagai juara, dia sedikit kecewa kerana tidak sampai ke puncak Gunung Kinabalu.

"Perlumbaan ini sepatutnya sehingga ke puncak (Gunung Kinabalu), namun telah dipendekkan sehingga ke Panalaban (Kilometer 10) kerana faktor cuaca yang tidak mengizinkan," katanya.

Kategori elit lelaki turut menyaksikan peserta dari Kenya, Lel Kipchirchir, yang berusia 24 tahun, muncul naib juara dengan catatan masa 2:20:22s manakala seorang lagi pelari tempatan, Daved Simpat, 35, berada di tempat ketiga dengan masa 2:20:42s.

Kejohanan edisi ke-30 itu menyaksikan penyertaan seramai 116 peserta walaupun pada mulanya seramai 128 yang telah mendaftar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata antara faktor peserta menarik diri adalah kerana keadaan cuaca buruk.

"Mereka tahu kemampuan mereka sendiri dan mungkin keadaan yang agak sejuk menyebabkan mereka terpaksa menarik diri," katanya.