Pelari tempatan, Saffrey Sumping, mengakui berlari selaku juara bertahan dalam Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu 2017 memberikannya sedikit tekanan.

Bagaimanapun, pelari berusia 34 tahun itu tetap bersedia untuk mempertahankan kejuaraannya dengan persiapan rapi telah dilakukan bagi menghadapi kejohanan yang masuk edisi ke-30, tahun ini.

"Ini kali pertama saya berlari selaku juara bertahan, memang ada sedikit tekanan tetapi tidaklah sampai menggangu latihan dan persiapan saya. Saya harap akan mampu memberi saingan nanti.

"Saya telah menjalani latihan sebanyak lima kali di Gunung Kinabalu, saya berasa cukup bagus dan sihat ketika ini, saya harap akan mampu pertahan kejuaraan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Laluan dari Laban Rata menuju ke puncak gunung adalah yang paling mencabar bagi Saffrey, namun laluan itu juga memberi kelebihan kepada pelari-pelari tempatan.

"Saya harap cuaca pada tahun ini bagus dan larian berlangsung sehingga ke puncak, laluan ini memberi kelebihan kepada pelari tempatan berbanding pelari luar negara," katanya.

Larian pada tahun lalu menyaksikan semua peserta hanya berlari sehingga ke Laban Rata dan turun semula ke garisan penamat berikutan keadaan cuaca buruk.

Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu akan membuka tirainya, awal pagi esok, dengan 129 peserta berkelayakan, termasuk dari luar negara, menyertainya.

Seperti tahun lalu, hanya dua kategori dipertandingkan tahun ini, iaitu lelaki dan wanita elit.

Peserta akan berlari sehingga ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095.2 meter sebelum turun semula ke Tapak Warisan Dunia UNESCO di Taman Kinabalu bagi menamatkan perlumbaan.