Jurulatih menembak negara, Sabki Mohd Din, mahu penembak lain tidak rasa gusar akan kedudukan masing-masing dalam program latihan baru yang menyaksikan hanya lima atlet kebangsaan yang sudah ditetapkan kedudukan mereka.

Setakat ini, hanya penembak wanita, Alia Sazana Azahari, diletakkan dalam kluster kedua manakala empat penembak lain, iaitu Ezuan Nasir Khan, Johnathan Wong, Abraham Eng Wei Jin dan Benjamin Khor berada dalam kluster ketiga.

Bagaimanapun, Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) masih belum memutuskan senarai penembak dalam kluster keempat.

Kedudukan baki 17 penembak akan diumumkan selepas mesyuarat persatuan dalam masa terdekat.

"Ketetapan atlet sudah ada, cuma dalam masa terdekat, senarai nama itu akan diumumkan oleh pihak persatuan kepada semua atlet.

"Senarai itu masih dalam peringkat perbincangan lagi," kata Sabki.

Sementara itu, Sabki terus mendapat kepercayaan selaku jurulatih membimbing skuad rifle negara untuk saingan tahun depan.

"Jurulatih juga akan ditentukan selepas ini. Memang ada perbincangan dan mungkin semua dikekalkan kerana penambahan daripada segi atlet," tambahnya.